syurgaku

syurgaku

Saturday 15 February 2020

Penggunaan Aplikasi Teknologi Blendspace TES Teach dalam PdP



Saya juga telah menggunakan satu lagi aplikasi teknologi iaitu Blendspace. Saya mencuba banyak aplikasi supaya saya dapat memilih aplikasi yang terbaik untuk digunakan di dalam kelas pada sesi PdP akan datang. Idea untuk menggunakan Blendspace tercetus sewaktu saya tidak dapat menggunakan makmal komputer dan pada masa yang sama saya agak kesuntukan masa dalam menyediakan bahan untuk PdP. Saya telah mengenali Blendspace semasa di dalam kelas subjek Technology in Education di UNITAR. Terima kasih Dr. Siti Farhah kerana telah memperkenalkan saya tentang kewujudan aplikasi ini.

Saya terus mendaftar masuk Blendspace dengan menggunakan akaun google. Untuk makluman semua, Blendspace sebuah aplikasi di mana guru dapat menyediakan bahan pengajaran dengan pelbagai sumber. Pelajar juga dapat berkongsi apa-apa maklumat, membuat persembahan serta guru memberikan kuiz kepada pelajar. Dengan masa yang singkat, saya dapat memasukkan slaid power point, video dari aplikasi Youtube, gambar-gambar yang berkaitan agama dan sains dan kuiz yang sedia ada (Mocrosoft Word).  Topik pelajaran kali ini ialah Solat Berjemaah Pengikat Hati (Pendidikan Islam Tingkatan Dua KSSM).

Pengunaan aplikasi ini sangat mudah. Apa yang perlu dilakukan ialah menamakan topik dan memasukkan serta menyusun sumber di dalam satu ruangan. Ianya sangat mudah kerana kita hanya menarik (drag and drop) bahan-bahan itu ke dalam Blendspace dengan pantas. Penggunaan Blendspace sebenarnya membuatkan guru dapat menyusun bahan pengajaran berdasarkan topik. Apabila kita masuk ke kelas, kita hanya perlu mendaftar masuk, pilih topik yang betul dan menamatkan PdP dengan jayanya. Ianya memudahkan PdP bagi guru! Sangat mengujakan!

Untuk penggunaan kali pertama ini, hanya saya yang mempunyai akaun dan memaparkan kepada pelajar kerana sesi PdP kali ini di dalam kelas. Pelajar tidak mempunyai telefon pintar namun saya yakin pelajar akan seronok apabila melihat aplikasi yang baru. Saya membuat persembahan menggunakan Blendspace di dalam kelas sebagai medium bersilih ganti dengan penggunaan slaid Power Point. Pelajar juga menunjukkan keterujaan apabila saya memaparkan penggunaan Blendspace di dalam kelas kerana ianya perkara yang baru bagi pelajar. Setiap pelajar dikehendaki menulis respon di ruangan komen menggunakan laptop saya berdasarkan soalan yang diberikan kepada mereka.

Saya berjaya menarik perhatian pelajar yang pendiam dan sukar memberikan pendapat di dalam kelas. Saya juga dapat mengenalpasti tahap kefahaman pelajar berdasarkan jawapan melalui kuiz yang telah saya paparkan. Penggunaan video yang banyak membuatkan pelajar sentiasa menantikan apa yang saya akan paparkan di dalam kelas. Apa yang mengembirakan saya, pelajar tidak mengantuk dan tiada seorang pun yang tidak memberikan tumpuan di dalam kelas. Ianya satu pencapaian yang terbaik untuk seorang guru seperti saya. Untuk masa akan datang saya akan menjalankan kuiz mengikut topik kerana aplikasi Blendspace dapat mengira semua tanda yang ada dan memaklumkan kepada pelajar kesalahan mereka.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai Blendspace, guru-guru boleh mengakses Blendspace yang telah dicipta oleh guru yang lain selagi mana ianya terbuka (public) untuk semua dan menggunakannya. Hebat bukan!



Matlamat Blendspace juga adalah membolehkan guru-guru untuk mengabungkan multimedia ke dalam kelas dengan cara yang cekap dan berkesan. Dalam abad ke-21 ini guru perlu berusaha mempelajari dan mengintegrasikan teknologi di dalam PdP. Ini kerana pembelajaran abad ke-21 ialah satu bentuk perubahan dari corak lama berpusatkan guru kepada berpusatkan murid dengan mengamalkan penggunaan teknologi. Kesimpulannya, aplikasi seperti Blendspace ini bukan sahaja memudahkan dan  memantapkan lagi kaedah PdP malah menjadikan sesi PdP sangat interaktif, menarik dan berkesan. Ini selari dengan Falsafah Pendidikan Negara dalam memastikan kemenjadian para pelajar pada masa kini.


Pernahkah anda menggunakan Blendspace TES Teach di dalam kelas? Tinggalkan komen di bawah dan kongsikan bagaimana anda menggunakan sumber PERCUMA ini!!😍😇

Penggunaan Aplikasi Padlet.Com dalam PdP



Saya tertarik dengan penggunaan Padlet.com semasa mengikuti kelas Post Graduate Diploma Education (PGDE) di UNITAR dalam subjek Technology In Education  pada tahun lepas. Pada masa itu, saya terus terfikir alangkah baiknya jika saya aplikasikan di sekolah. Penggunaan Padlet.com ini sangat menarik untuk dilaksanakan oleh guru di sekolah kerana sangat interaktif dan mengujakan lebih-lebih lagi dalam pembentangan oleh pelajar. Penggunaan Padlet.com ini amat membantu murid untuk membuat penilaian sewaktu sesi pembelajaran mereka. Melalui pembelajaran Abad Ke-21, murid sepatutnya sudah terlatih untuk menilai sendiri hasil kerja mereka, atau setidak-tidaknya mereka dapat membuat penilaian sesama rakan (peer assessment).

Di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra pelajar agak terhad dalam penggunaan internet dan komputer. Pelajar tidak dibenarkan membawa telefon pintar ke maktab. Oleh itu, saya telah menempah makmal komputer yang disediakan oleh pihak maktab untuk mengaplikasi apa yang telah saya belajar pada sesi kuliah yang lalu. Penggunaan makmal komputer juga terhad kerana kebanyakan guru kerap menggunakan makmal untuk aktiviti pengajaran dan  pembelajaran.

Padlet ini berfingsi seperti sekeping kertas di mana pelajar dapat meletakkan apa-apa kandungan dengan bebas dengan menggunakan mana-mana peralatan teknologi seperti komputer, laptop, tablet dan telefon pintar. Keistimewaan pembelajaran melalui Padlet ialah bahan pengajaran dan pembelajaran seperti video, grafik, animasi, teks dan pautan URL boleh dimasukkan dan disampaikan dengan mudah.

Pada mulanya saya telah mendaftar masuk ke laman https://padlet.com/ menggunakan akaun Google untuk membina tapak pembelajaran. Setelah berjaya membina tapak (Make a Padlet), saya telah membuat satu tapak untuk tajuk dalam subjek Pendidikan Islam Tingkatan Dua iaitu Malu Perisai Iman. Saya menulis arahan untuk pelajar membincangkan mengenai isu malu dan paparkan di tapak padlet saya. Setelah kita mempunyai tapak di padlet, bolehlah kongsikan pautan tapak tersebut  dengan pelajar.

Saya telah meletakkan contoh isu di tapak dan pelajar boleh melihat di skrin komputer masing. Pelajar sangat teruja kerana ada ruang untuk komen dan memberikan “love” kepada hasil pembentangan rakan-rakan pelajar yang lain. Pelajar telah menggunakan komputer yang berlainan untuk membuat catatan pada tapak padlet yang disediakan. Tajuk kali ini, pelajar perlu paparkan secara peribadi tugasan yang telah diberikan. Hasil tugasan adalah seperti dalam gambar di bawah dan boleh dilihat di url padlet ini,  https://padlet.com/sharifahazlizasyedalwi/pelajaran24

                                          Contoh: Hasil kerja pelajar di dalam kelas

Pada tapak Padlet.com yang disediakan, pelajar dapat mencatat maklumat dan membaca maklumat yang dihantar oleh pelajar yang lain. Sebagai permulaan, saya telah meminta pelajar membaca isu yang telah dikongsi oleh pelajar lain dan memberikan komen sama ada mengikut arahan atau terkeluar dari topik pembelajaran pada hari ini. Sekiranya terdapat kesalahan, mana-mana pelajar boleh memberitahu pelajar yang lain dan mendapatkan hasil yang lebih baik. Pelajar diminta untuk membentang secara individu pada peringkat permulaan ini bagi memberikan kefahaman dalam penggunaan Padlet. Alhamdulillah, pelajar sangat teruja dan asyik menyatakan bahawa saya seorang yang canggih dan menyeronokkan dalam kelas. Ini kerana saya juga sentiasa memberikan komen dan memberikan “love" sebagai ganjaran. Saya sertakan video sepanjang penggunaan Padlet.com di dalam kelas.



Refleksi dari pelajar:
Sepanjang penggunaan Padlet.com di maktab, saya mendapati pelajar sangat teruja dalam menggunakan teknologi kerana kita sedia maklum zaman mereka adalah sangat kehadapan. Keperluan teknologi begini sangat diperlukan bagi melaksanakan pembelajaran abad ke-21 dan menjimatkan masa. Kebiasaanya, apabila pelajar membuat pembentangan di dalam kelas pelajar perlu menulis di kertas manjung atau kad manila. Semuanya memakan masa separuh sesi PdP pada hari itu sehinggakan kadangkala pembentangan tidak dapat dilakukan dan bersambung pada PdP seterusnya. Dengan Padlet.com, pembentangan dapat dilakukan dengan pantas sama ada secara individu atau berkumpulan.

Hasil kerja pelajar

Kedua, pelajar sangat bersemangat dan aktif sepanjang kelas. Tiada seorang pun dari pelajar mengantuk. Jika kelas dibuat di dalam kelas, akan ada beberapa pelajar yang mengantuk dan tidak fokus. Perisian Padlet.com jelas membuktikan satu bahan bantu mengajar (BBM) yang menarik dan menyeronokkan. Memandangkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang mempunyai topik yang banyak dan memerlukan aplikasi pembelajaran abad-21, penggunaan aplikasi Padlet.com dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu alternatif dalam meningkatkan pencapaian dan prestasi pelajar. Ianya mudah dalam memberikan kefahaman kepada pelajar mengenai Padlet.com kerana kebanyakan remaja pada masa kini gemar menggunakan Internet untuk bermain aplikasi komputer dan mencari maklumat (Maswan, 2011).

Pernahkah anda menggunakan Padlet.com di dalam kelas? Tinggalkan komen di bawah dan kongsikan bagaimana anda menggunakan sumber PERCUMA ini!!  Salam sayang dari saya untuk semua.😘

Rujukan:
Maswan, I. N. (2011). Aplikasi Pendekatan Inkuiri dalam Persekitaran Pembelajaran Berasaskan Web. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia

Penggunaan Aplikasi Nearpod dalam PdP



Dalam entri kedua ini saya memilih penggunaan aplikasi Nearpod di dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Menurut Kamarul Azmi etl  (2012) pelbagai perubahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini menyebabkan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam perlu untuk disesuaikan dengan tuntutan zaman. Guru Pendidikan Islam harus menyesuaikan pengajaran Pendidikan Islam mengikut keperluan semasa yang memerlukan mereka menggunakan bahan-bahan teknologi maklumat. Selari dengan tuntutan semasa, saya telah menggunakan Nearpod di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Dengan beberapa ciri unik, Nearpod menjadi satu aplikasi yang popular pada masa kini. Pada mulanya, saya cuba meneroka aplikasi Nearpod selepas seorang rakan saya memberitahu mengenai Nearpod. Saya mula mempelajari Nearpod melalui aplikasi Youtube dan dapat memahami dengan baik. Nearpod merupakan satu aplikasi yang sangat memenuhi kehendak seorang guru dalam mengawal penggunaan aplikasi semasa sesi pembelajaran sedang berlangsung. Saya telah menggunakan aplikasi ini di dalam dua kelas berbeza bagi tahun ini. Penggunaan makmal yang terhad, saya memilih kelas yang dilaksanakan pada waktu petang sahaja. Ini kerana permasalahan yang timbul semasa sesi kelas petang adalah ramai pelajar mengantuk dan tidak dapat memberikan tumpuan yang baik di dalam kelas.

Selepas mendaftar masuk di https://nearpod.com/login/. Kemudian saya menekan butang“create  (butang + di sebelah kanan) dan memilih “Lesson in Nearpod”. Saya sangat teruja kerana di dalam Nearpod kita boleh masukkan kesemua bahan pengajaran di dalam satu platform. Saya telah memasukkan bahan pengajaran seperti slaid Power Point, jurnal yang berkaitan, Quizziz, video daripada Youtube, dan membina kuiz serta soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Paling teruja adalah kita boleh membuat kuiz dengan meletakkan masa untuk dijawab oleh pelajar.

Pelajar perlu membuka url https://nearpod.com/login/ dan hanya memasukkan code (kod) yang guru perolehi di dalam Nearpod. Kemudian pelajar dapat melihat paparan yang telah dibuka oleh guru dan menunggu guru untuk menjalankan sesi pembelajaran. Setelah dua kali menggunakan Nearpod, saya melihat aplikasi ini boleh dijalankan dengan pelajar semasa waktu cuti persekolahan untuk menambahkan kefahaman pelajar mengenai sesuatu topik.

                                     Gambar 1: Pelajar hanya perlu memasukkan kod 
                                                        di ruangan Student Join a Lesson

Pelajar perlu menjawab soalan dan menekan butang hantar (Submit) dalam masa yang telah saya tetapkan. Sebagi contoh soalan KBAT yang telah dijawab oleh pelajar saya dapat melihat berapa pelajar yang telah menghantar dan tidak sempat menghantar jawapan. Guru boleh bertanyakan kenapa pelajar tidak dapat menjawab dan kita dapat memberikan masa untuk pelajar fokus dan mengajar mengenai KBAT jika pelajar masih lemah. Saya boleh  menekan butang “share  untuk dipaparkan di skrin komputer semua pelajar untuk melihat jawapan rakan mereka dan memberikan markah serta membuat pembetulan.

Secara mudahnya, Nearpod mempunyai empat peringkat iaitu:
1.      Guru perlu mendaftar masuk dan mencipta persembahan dalam “Lessons in Nearpod”
2.    Guru berkogsi dengan pelajar code dengan pelajar (code akan didapati selepas kita membuat persembahan). Kod boleh diberikan di dalam kelas, email, media sosial atau Google Clasaroom.
3.   Pelajar Log In dengan memasukkan kod dan memuat turun bahan pembelajaran yang telah guru sediakan. (slaid, kuiz, video dll). Pelajar perlu menunggu guru dalam pembelajaran yang sedang berlangsung.
4.      Apabila selesai guru dapat menilai hasil kerja pelajar dan menganalisis hasil pembelajaran.

Kesimpulannya, aplikasi Nearpod sangat mengujakan dan memudahkan guru membuat kawalan. Ini kerana pelajar perlu tunggu guru menekan paparan terlebih dahulu sebelum pelajar melihat paparan. Pengawalan yang begini sangat penting kerana pelajar merupakan remaja yang penuh dengan keterujaan dan kadangkala mereka tidak mengikut arahan guru dengan baik. Tetapi dengan Nearpod guru dapat mengawal dan semua pelajar mengikuti sesi PdP dengan bersama-sama dan sangat interaktif.

Pernahkah anda menggunakan Nearpod di dalam kelas? Tinggalkan komen di bawah dan kongsikan bagaimana anda menggunakan sumber PERCUMA ini!😉




Rujukan: 

Kamarul Azmi Jasmi , Md Yusnan Lamat, Azhar Muhammad, Mohd Ismail Mustari, Muhamad Faiz Ismail dan Mohd Faeez Ilias (2012). Aplikasi Teknologi Dalam Pengajaran Danpembelajaran Pendidikan Islam. Seminar Antarabangsa Perguruan dan Pendidikan Islam (SEAPPI2012) 08 – 09 Mac 2012, Le Grandeur Palm Resort, Senai, Johor Bahru.



Aplikasi Teknologi Dalam Pendidikan (Diploma Pendidikan UNITAR)


Era abad ke-21 sering dianggap sebagai era teknologi. Seperti yang kita lihat pada masa kini, teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Ini kerana teknologi membuat kerja kita lebih mudah dan menjimatkan masa. Kesan teknologi dapat dirasakan dalam setiap lapangan termasuk bidang Pendidikan. Penggunaan ICT dalam pendidikan terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (KPM 2013) iaitu anjakan ke-7 yang menggariskan “memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia”. Anjakan ke-7 ini jelas menunjukkan bahawa keperluan ICT pada masa kini perlu dititikberatkan dan menjadi aspirasi semua pendidik di Malaysia.

Menurut Rogayah dan Mohd Aderi (2016) ICT (Information and Communication Technology) telah mendatangkan satu perubahan yang besar dalam bidang Pendidikan terutama sekali berkaitan dengan aspek PdP (pengajaran dan pembelajaran).  Ia masih memerlukan panduan dari seorang guru dan berpandukan kurikulum pengajaran. Guru perlu memperuntukkan masa dan strategi untuk mengintegrasikannya dengan berkesan ke dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Secara tidak langsung, pelbagai aplikasi dan perisian teknologi akan diguna pakai sebagai medium pengajaran dan pembelajaran.

Perubahan pemikiran dalam diri saya mengenai aplikasi teknologi ini bermula di kelas subjek Technology in Education (ESEG5033) di Unitar. Selama ini saya hanya tahu menggunakan Microsoft Power Point dan Youtube. Itupun saya sudah merasakan saya sudah berjaya menawan hati pelajar. Entri kali ini juga adalah bagi menyiapkan tugasan bagi subjek ini di bawah bimbingan pensyarah Dr Siti Farhah Binti Abdul Aziz. Ini juga sebab kenapa saya kembali mengaktifkan blog yang sudah lama dibiarkan demi merealisasikan tugasan kelas aplikasi teknologi dalam pendidikan. Doakan saya  agar berterusan dalam berkongsi pelbagai ilmu di blog ini dan berjaya dengan cemerlang dalam pengajian diploma pendidikan.👍

Dalam blog ini, saya akan menceritakan pengalaman meneroka dan menggunakan aplikasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Saya telah memilih tiga aplikasi utama iaitu Padlet.com, Nearpod dan Blendspace. Penggunaan aplikasi ini sangat berfaedah dan bermanfaat lebih-lebih lagi dalam pembelajaran abad-21. Penerangan bagi setiap aplikasi yang digunakan akan dijelaskan lebih lanjut dalam tiga entri yang berbeza.     
         
Rujukan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). (2015). Pelan Pembangunan Pendidikan  Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), 1–12doi:10.1016/j.tate.2010.08.007

Rogayah Bt Mohd Zain & Mohd Aderi Che Noh. 2016. Kesan Globalisasi Ke Atas Pendidikan Islam Kini. Prosiding wacana Pendidikan Islam Siri Ke 11(WPI11), Hlm 35-42.

Monday 1 August 2011

Puasa dan Sains..apakah kaitannya??


                                         Puasa dan Detoksifikasi

Matlamat puasa adalah untuk membina takwa. Untuk tujuan itu puasa perlu dilakukan dengan cara serta adab yang betul. Apabila kesemua ini dilakukan dengan sempurna, seseorang bukan sahaja akan memperoleh takwa, malah lebih dari itu dia juga akan memperoleh segala kebaikan yang lain. Antara kebaikan itu ialah meningkatkan kesihatan badan melalui proses detoksifikasi.

Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin. Mengikut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit.

Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit.”

Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, “Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya.”

Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan. Di samping itu, berat badan mereka ditimbang. 

Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high density lipoprotein) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Malah sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Fakta-fakta ini dilaporkan di dalam Islamic Perspectives in Medicine oleh Dr. Shahid Athar terbitan American Trust Publications, Indianapolis.

Nukilan Dr Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria)

 

Tuesday 5 July 2011

bukan tentang "saya" atau "awak" tetapi tentang " kita" ^_^

Tahu tak lagu nih?? ‘Renjis-renjis dipilis, di tepungi lah tawar, hai beras kunyit ditabur disiram si air mawar”….alam perkahwinan sudah bermula..bermula sebuah komitmen anda sebagai isteri ataupun suami..kebahagiaan yang di idamkan bersama insan tersayang..Alhamdulillah…

Ramai pasangan yang bercinta mengharapkan rumahtangga yang bahagia hingga ke akhirnya. Namun demikian apa yang ingin saya sentuh kali ini ialah ramai pasangan yang kurang menyiapkan diri dari segi psikologi dan kekuatan rohani untuk menepuh alam perkahwinan yang sebenar. Hanya setakat mengikuti kursus pra perkahwinan, ianya sangt tidak mencukupi..krn alam rumahtangga perlu dilayari dengan berlandaskan ilmu Allah.

Pernah dengar tak? Cinta itu indah, namun cinta itu buta…kenapa? Adakala kita tidak sedar suka duka yang akan dilalui dalam alam rumahtangga krn kita menganggap CINTA itu sentiasa indah..sebuah perkahwinan bukan hanya tentang cinta, namun ianya tentang KASIH SAYANG, KOMITMEN TANGGUNGJAWAB dan PENGORBANAN.

“Tujuan utama perkahwian bukan sekadar untuk membuatkan anda bahagia tetapi untuk membuat diri kita dan pasangan bahagia. Tiada lagi tentang “ saya” , tiada lagi tentang “ awak” tetapi apa? Tetapi semuanya tentang “kita”..

Jom kita betulkan tanggapan kita mengenai perkahwinan:
  • Perkahwinan akan buatkan saya bahagia ( bestnya)
Sebenarnya kebahagian bukanlah terletak pada pasangan kita tetapi ianya ditentukan o diri kita sendiri. Kebahagiaan ni terlalu subjektif dan kita sahaja yang tahu…ramai juga pasangan yang baru berkahwin setahun sudah mahu berpisah kerana kata mereka “ kami tak bahagia lagi” “ saya rasa tertekan dengan perkahwianan ini” . Kebahagiaan tidak boleh ditunggu ttpi ianya perlu di cari dalam diri sendiri..yang paling penting kebahagiaan itu dikongsi bersama pasangan anda..
  •  Sepatutnya pasangan saya tahu apa kehendak saya
hakikatnya pasangan tak tahu apa yang kita fikirkan walaupun daia seorang yang bijaksana. Semuanya perlu di utarakan dengan cara yang jelas bukan berkias..Hmm…ini selalu terjadi..dalam perkahwinan, di awal perkahwinan lagi , pasangan kena selalu berterus terang, insyaAllah ianya kaan menjadi satu bentuk komunikasi yang baik kerana di awal perkahwinan, di situlah wujudnya undang2 yang tidak bertulis antara pasangan, cukup hanya difahami o pasangan. U makluman kaum isteri, komunikasi yg terbaik dengan suami adalah nyatakan dengan jelas apa yang kita mahukan . contoh ..kita pergi pasar malam, Nampak sate sedap sangat..kita hanya cakap pada suami kita “ sedapnya sate tu” ( padahal dalam hati kita, moga2 suami g beli) , tapi sebenarnya, lelaki hanya faham isterinya hanya memberitahu pada dia bahawa sate sedap..takke rugi kita kaum pompuan nih? Hee..
  •   Konflik yang timbul akan mengurangkan kasih sayang
Betul ke tidak?? Konflik tetap akan ada kerana pasangan memliki perspektif yang berbeza tentang pelbagai perkara. Ianya bergantung kepada cara kita mengatasi setiap cabaran yang hadir dalam rumahtangga kita. Elakkan dari meninggikan suara, kedua-dua pihak kena tenang..cabaran dan konflik yang dapat diselesaikan dengan baik akan menambahkan kematangan antara pasangan dan membuahkan kebahagian..

Semakin hari semakin sayang…insyaAllah..sebelum berkahwin perlukan ilmu, pengalaman juga satu ilmu…pengalaman insan lain dijadikan peringatan dan panduan, kerana pengalaman orang lain jugalah satu proses kematangan diri..CARI PENGALAMAN BUAT TELADAN..

                                                                                         
Sekadar perkongsiaan :  ( Selamat Pengantin Baru - Hijjaz)
~suka pasang dalam kereta coz u reminder diri sendiri ( sesuai u mereka yang sukakan lagu) ~

Bila dua hati dah terjalin
Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha Allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup

Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu

Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan Ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Melangkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal ke anak cucu

Moga kekal hingga ke syurga