syurgaku

syurgaku

Saturday 15 February 2020

Aplikasi Teknologi Dalam Pendidikan (Diploma Pendidikan UNITAR)


Era abad ke-21 sering dianggap sebagai era teknologi. Seperti yang kita lihat pada masa kini, teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Ini kerana teknologi membuat kerja kita lebih mudah dan menjimatkan masa. Kesan teknologi dapat dirasakan dalam setiap lapangan termasuk bidang Pendidikan. Penggunaan ICT dalam pendidikan terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (KPM 2013) iaitu anjakan ke-7 yang menggariskan “memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia”. Anjakan ke-7 ini jelas menunjukkan bahawa keperluan ICT pada masa kini perlu dititikberatkan dan menjadi aspirasi semua pendidik di Malaysia.

Menurut Rogayah dan Mohd Aderi (2016) ICT (Information and Communication Technology) telah mendatangkan satu perubahan yang besar dalam bidang Pendidikan terutama sekali berkaitan dengan aspek PdP (pengajaran dan pembelajaran).  Ia masih memerlukan panduan dari seorang guru dan berpandukan kurikulum pengajaran. Guru perlu memperuntukkan masa dan strategi untuk mengintegrasikannya dengan berkesan ke dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Secara tidak langsung, pelbagai aplikasi dan perisian teknologi akan diguna pakai sebagai medium pengajaran dan pembelajaran.

Perubahan pemikiran dalam diri saya mengenai aplikasi teknologi ini bermula di kelas subjek Technology in Education (ESEG5033) di Unitar. Selama ini saya hanya tahu menggunakan Microsoft Power Point dan Youtube. Itupun saya sudah merasakan saya sudah berjaya menawan hati pelajar. Entri kali ini juga adalah bagi menyiapkan tugasan bagi subjek ini di bawah bimbingan pensyarah Dr Siti Farhah Binti Abdul Aziz. Ini juga sebab kenapa saya kembali mengaktifkan blog yang sudah lama dibiarkan demi merealisasikan tugasan kelas aplikasi teknologi dalam pendidikan. Doakan saya  agar berterusan dalam berkongsi pelbagai ilmu di blog ini dan berjaya dengan cemerlang dalam pengajian diploma pendidikan.👍

Dalam blog ini, saya akan menceritakan pengalaman meneroka dan menggunakan aplikasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Saya telah memilih tiga aplikasi utama iaitu Padlet.com, Nearpod dan Blendspace. Penggunaan aplikasi ini sangat berfaedah dan bermanfaat lebih-lebih lagi dalam pembelajaran abad-21. Penerangan bagi setiap aplikasi yang digunakan akan dijelaskan lebih lanjut dalam tiga entri yang berbeza.     
         
Rujukan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). (2015). Pelan Pembangunan Pendidikan  Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), 1–12doi:10.1016/j.tate.2010.08.007

Rogayah Bt Mohd Zain & Mohd Aderi Che Noh. 2016. Kesan Globalisasi Ke Atas Pendidikan Islam Kini. Prosiding wacana Pendidikan Islam Siri Ke 11(WPI11), Hlm 35-42.

1 comment: