syurgaku

syurgaku

Saturday 15 February 2020

Penggunaan Aplikasi Teknologi Blendspace TES Teach dalam PdP



Saya juga telah menggunakan satu lagi aplikasi teknologi iaitu Blendspace. Saya mencuba banyak aplikasi supaya saya dapat memilih aplikasi yang terbaik untuk digunakan di dalam kelas pada sesi PdP akan datang. Idea untuk menggunakan Blendspace tercetus sewaktu saya tidak dapat menggunakan makmal komputer dan pada masa yang sama saya agak kesuntukan masa dalam menyediakan bahan untuk PdP. Saya telah mengenali Blendspace semasa di dalam kelas subjek Technology in Education di UNITAR. Terima kasih Dr. Siti Farhah kerana telah memperkenalkan saya tentang kewujudan aplikasi ini.

Saya terus mendaftar masuk Blendspace dengan menggunakan akaun google. Untuk makluman semua, Blendspace sebuah aplikasi di mana guru dapat menyediakan bahan pengajaran dengan pelbagai sumber. Pelajar juga dapat berkongsi apa-apa maklumat, membuat persembahan serta guru memberikan kuiz kepada pelajar. Dengan masa yang singkat, saya dapat memasukkan slaid power point, video dari aplikasi Youtube, gambar-gambar yang berkaitan agama dan sains dan kuiz yang sedia ada (Mocrosoft Word).  Topik pelajaran kali ini ialah Solat Berjemaah Pengikat Hati (Pendidikan Islam Tingkatan Dua KSSM).

Pengunaan aplikasi ini sangat mudah. Apa yang perlu dilakukan ialah menamakan topik dan memasukkan serta menyusun sumber di dalam satu ruangan. Ianya sangat mudah kerana kita hanya menarik (drag and drop) bahan-bahan itu ke dalam Blendspace dengan pantas. Penggunaan Blendspace sebenarnya membuatkan guru dapat menyusun bahan pengajaran berdasarkan topik. Apabila kita masuk ke kelas, kita hanya perlu mendaftar masuk, pilih topik yang betul dan menamatkan PdP dengan jayanya. Ianya memudahkan PdP bagi guru! Sangat mengujakan!

Untuk penggunaan kali pertama ini, hanya saya yang mempunyai akaun dan memaparkan kepada pelajar kerana sesi PdP kali ini di dalam kelas. Pelajar tidak mempunyai telefon pintar namun saya yakin pelajar akan seronok apabila melihat aplikasi yang baru. Saya membuat persembahan menggunakan Blendspace di dalam kelas sebagai medium bersilih ganti dengan penggunaan slaid Power Point. Pelajar juga menunjukkan keterujaan apabila saya memaparkan penggunaan Blendspace di dalam kelas kerana ianya perkara yang baru bagi pelajar. Setiap pelajar dikehendaki menulis respon di ruangan komen menggunakan laptop saya berdasarkan soalan yang diberikan kepada mereka.

Saya berjaya menarik perhatian pelajar yang pendiam dan sukar memberikan pendapat di dalam kelas. Saya juga dapat mengenalpasti tahap kefahaman pelajar berdasarkan jawapan melalui kuiz yang telah saya paparkan. Penggunaan video yang banyak membuatkan pelajar sentiasa menantikan apa yang saya akan paparkan di dalam kelas. Apa yang mengembirakan saya, pelajar tidak mengantuk dan tiada seorang pun yang tidak memberikan tumpuan di dalam kelas. Ianya satu pencapaian yang terbaik untuk seorang guru seperti saya. Untuk masa akan datang saya akan menjalankan kuiz mengikut topik kerana aplikasi Blendspace dapat mengira semua tanda yang ada dan memaklumkan kepada pelajar kesalahan mereka.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai Blendspace, guru-guru boleh mengakses Blendspace yang telah dicipta oleh guru yang lain selagi mana ianya terbuka (public) untuk semua dan menggunakannya. Hebat bukan!



Matlamat Blendspace juga adalah membolehkan guru-guru untuk mengabungkan multimedia ke dalam kelas dengan cara yang cekap dan berkesan. Dalam abad ke-21 ini guru perlu berusaha mempelajari dan mengintegrasikan teknologi di dalam PdP. Ini kerana pembelajaran abad ke-21 ialah satu bentuk perubahan dari corak lama berpusatkan guru kepada berpusatkan murid dengan mengamalkan penggunaan teknologi. Kesimpulannya, aplikasi seperti Blendspace ini bukan sahaja memudahkan dan  memantapkan lagi kaedah PdP malah menjadikan sesi PdP sangat interaktif, menarik dan berkesan. Ini selari dengan Falsafah Pendidikan Negara dalam memastikan kemenjadian para pelajar pada masa kini.


Pernahkah anda menggunakan Blendspace TES Teach di dalam kelas? Tinggalkan komen di bawah dan kongsikan bagaimana anda menggunakan sumber PERCUMA ini!!πŸ˜πŸ˜‡

6 comments: