syurgaku

syurgaku

Saturday 15 February 2020

Penggunaan Aplikasi Padlet.Com dalam PdP



Saya tertarik dengan penggunaan Padlet.com semasa mengikuti kelas Post Graduate Diploma Education (PGDE) di UNITAR dalam subjek Technology In Education  pada tahun lepas. Pada masa itu, saya terus terfikir alangkah baiknya jika saya aplikasikan di sekolah. Penggunaan Padlet.com ini sangat menarik untuk dilaksanakan oleh guru di sekolah kerana sangat interaktif dan mengujakan lebih-lebih lagi dalam pembentangan oleh pelajar. Penggunaan Padlet.com ini amat membantu murid untuk membuat penilaian sewaktu sesi pembelajaran mereka. Melalui pembelajaran Abad Ke-21, murid sepatutnya sudah terlatih untuk menilai sendiri hasil kerja mereka, atau setidak-tidaknya mereka dapat membuat penilaian sesama rakan (peer assessment).

Di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra pelajar agak terhad dalam penggunaan internet dan komputer. Pelajar tidak dibenarkan membawa telefon pintar ke maktab. Oleh itu, saya telah menempah makmal komputer yang disediakan oleh pihak maktab untuk mengaplikasi apa yang telah saya belajar pada sesi kuliah yang lalu. Penggunaan makmal komputer juga terhad kerana kebanyakan guru kerap menggunakan makmal untuk aktiviti pengajaran dan  pembelajaran.

Padlet ini berfingsi seperti sekeping kertas di mana pelajar dapat meletakkan apa-apa kandungan dengan bebas dengan menggunakan mana-mana peralatan teknologi seperti komputer, laptop, tablet dan telefon pintar. Keistimewaan pembelajaran melalui Padlet ialah bahan pengajaran dan pembelajaran seperti video, grafik, animasi, teks dan pautan URL boleh dimasukkan dan disampaikan dengan mudah.

Pada mulanya saya telah mendaftar masuk ke laman https://padlet.com/ menggunakan akaun Google untuk membina tapak pembelajaran. Setelah berjaya membina tapak (Make a Padlet), saya telah membuat satu tapak untuk tajuk dalam subjek Pendidikan Islam Tingkatan Dua iaitu Malu Perisai Iman. Saya menulis arahan untuk pelajar membincangkan mengenai isu malu dan paparkan di tapak padlet saya. Setelah kita mempunyai tapak di padlet, bolehlah kongsikan pautan tapak tersebut  dengan pelajar.

Saya telah meletakkan contoh isu di tapak dan pelajar boleh melihat di skrin komputer masing. Pelajar sangat teruja kerana ada ruang untuk komen dan memberikan “love” kepada hasil pembentangan rakan-rakan pelajar yang lain. Pelajar telah menggunakan komputer yang berlainan untuk membuat catatan pada tapak padlet yang disediakan. Tajuk kali ini, pelajar perlu paparkan secara peribadi tugasan yang telah diberikan. Hasil tugasan adalah seperti dalam gambar di bawah dan boleh dilihat di url padlet ini,  https://padlet.com/sharifahazlizasyedalwi/pelajaran24

                                          Contoh: Hasil kerja pelajar di dalam kelas

Pada tapak Padlet.com yang disediakan, pelajar dapat mencatat maklumat dan membaca maklumat yang dihantar oleh pelajar yang lain. Sebagai permulaan, saya telah meminta pelajar membaca isu yang telah dikongsi oleh pelajar lain dan memberikan komen sama ada mengikut arahan atau terkeluar dari topik pembelajaran pada hari ini. Sekiranya terdapat kesalahan, mana-mana pelajar boleh memberitahu pelajar yang lain dan mendapatkan hasil yang lebih baik. Pelajar diminta untuk membentang secara individu pada peringkat permulaan ini bagi memberikan kefahaman dalam penggunaan Padlet. Alhamdulillah, pelajar sangat teruja dan asyik menyatakan bahawa saya seorang yang canggih dan menyeronokkan dalam kelas. Ini kerana saya juga sentiasa memberikan komen dan memberikan “love" sebagai ganjaran. Saya sertakan video sepanjang penggunaan Padlet.com di dalam kelas.



Refleksi dari pelajar:
Sepanjang penggunaan Padlet.com di maktab, saya mendapati pelajar sangat teruja dalam menggunakan teknologi kerana kita sedia maklum zaman mereka adalah sangat kehadapan. Keperluan teknologi begini sangat diperlukan bagi melaksanakan pembelajaran abad ke-21 dan menjimatkan masa. Kebiasaanya, apabila pelajar membuat pembentangan di dalam kelas pelajar perlu menulis di kertas manjung atau kad manila. Semuanya memakan masa separuh sesi PdP pada hari itu sehinggakan kadangkala pembentangan tidak dapat dilakukan dan bersambung pada PdP seterusnya. Dengan Padlet.com, pembentangan dapat dilakukan dengan pantas sama ada secara individu atau berkumpulan.

Hasil kerja pelajar

Kedua, pelajar sangat bersemangat dan aktif sepanjang kelas. Tiada seorang pun dari pelajar mengantuk. Jika kelas dibuat di dalam kelas, akan ada beberapa pelajar yang mengantuk dan tidak fokus. Perisian Padlet.com jelas membuktikan satu bahan bantu mengajar (BBM) yang menarik dan menyeronokkan. Memandangkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang mempunyai topik yang banyak dan memerlukan aplikasi pembelajaran abad-21, penggunaan aplikasi Padlet.com dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu alternatif dalam meningkatkan pencapaian dan prestasi pelajar. Ianya mudah dalam memberikan kefahaman kepada pelajar mengenai Padlet.com kerana kebanyakan remaja pada masa kini gemar menggunakan Internet untuk bermain aplikasi komputer dan mencari maklumat (Maswan, 2011).

Pernahkah anda menggunakan Padlet.com di dalam kelas? Tinggalkan komen di bawah dan kongsikan bagaimana anda menggunakan sumber PERCUMA ini!!  Salam sayang dari saya untuk semua.😘

Rujukan:
Maswan, I. N. (2011). Aplikasi Pendekatan Inkuiri dalam Persekitaran Pembelajaran Berasaskan Web. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia

2 comments:

  1. Wahh..sangat menarik menggunakan padlet sebagai medium engagement antara guru dan pelajar.. tahniah..

    ReplyDelete